Tipologi Rumah Tradisional Melayu Negeri Sembilan dan Evolusi Reka bentuk
Gelombang penghijrahan Minangkabau, Sumatera Barat (Rajah 1.1) sedikit sebanyak mempengaruhi dan membentuk evolusi rumah warisan di Negeri Sembilan, Malaysia. Evolusi merupakan perkembangan, pembangunan dan perubahan yang berlaku akibat daripada beberapa faktor tertentu seperti faktor budaya, tempat dan juga kedaerahan. Maksud evolusi dalam New Oxford Dictionary (1998) ialah perkembangan, pembentukan atau pertumbuhan secara beransuransur dan perlahan-lahan. Cara hidup di sesuatu tempat dan adat resamnya juga akan mencorakkan perubahan yang berlaku di sekelilingnya.